KLANG 7 Okt. - Demi untuk melampiaskan nafsu seks, seorang pekebun warga emas menggunakan helah dengan menyuruh anaknya keluar membeli makanan dan meninggalkannya bersama rakan anaknya yang berusia 13 tahun di rumah.
Lim Ah Guan @ Lim Ah Heng sekali lagi mengambil kesempatan merogol mangsa yang datang ke rumah untuk berjumpa anaknya sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi yang kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Selepas empat tahun, Ah Guan, 63, hari ini menerima balasan apabila dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol mangsa sebanyak dua kali.
Hakim Yong Zarida Sazali bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Ah Guan didakwa merogol mangsa di rumahnya di Taman Mutiara Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini antara pukul 8.15 dan 8.30 malam pada awal Januari 2005 dan 12 April 2005.
Mengikut fakta kes yang diakui tertuduh, dia menyuruh anaknya keluar membeli makanan serta menghalang mangsa mengikut rakannya itu sebelum mengambil kesempatan terhadap mangsa.
Kejadian kedua pula berlaku ketika mangsa sekali lagi datang ke rumah tersebut untuk mengambil cakera padat video (VCD) setelah tertuduh mengatakan anaknya berada di dapur sebelum merogol mangsa.
No comments:
Post a Comment