SHAH ALAM 30 Sept. - Umpama keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya. Itulah nasib remaja berusia 13 tahun apabila dia dirogol oleh bapanya sendiri selepas melarikan diri dari rumah ibunya kerana dipukul.
Pelajar tingkatan satu itu kini mengalami trauma seumur hidup apabila dinoda semasa cuba mendapatkan perlindungan daripada bapanya.
Lelaki yang berkerja sebagai pengawal keselamatan itu hari ini menerima balasan apabila dihukum penjara 18 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak gadisnya sendiri.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakub menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai haruan makan anak serta tidak sesuai dengan pekerjaannya yang bertanggungjawab menjaga keselamatan.
''Awak sebagai bapa sepatutnya menjadi pelindung, lebih-lebih lagi mangsa lari kerana dipukul oleh ibunya, tetapi awak pula mengambil kesempatan untuk merogol anak sendiri.
''Saya harap hukuman ini akan menyedarkan kamu. Gunakan masa di penjara untuk menginsafi diri. Dengan ini kamu dihukum penjara 18 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 8 Mei lalu dan 10 sebatan," katanya.
Tertuduh yang telah bercerai dengan ibu mangsa mengaku merogol anaknya itu di sebuah rumah di Taman Mesra, Batu 3 di sini kira-kira pukul 7.15 petang, pertengahan April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Ismail mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan minimum 10 kali.
Mengikut fakta kes, mangsa berada di atas tilam dalam sebuah bilik di rumah bapanya apabila tertuduh tiba-tiba masuk dan duduk rapat dengannya pada hari kejadian.
Tertuduh kemudiannya menolak badan anaknya ke atas tilam dan merogol mangsa yang tidak berdaya untuk melawan.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis serta pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum tertuduh ditahan.
sumber : utusan
No comments:
Post a Comment